22 October 2008

NIZAR MENGKHIANATI PERJUANGAN PAS!

Pelantikan exco Perak langsung tidak menggambarkan komposisi sebenar rakyat yang terdiri 56 peratus penduduk masyarakat melayu. Mengikut bancian pada 2001, daripada 2,157,700 penduduk di Perak, komposisi kaum Melayu adalah paling tinggi dengan jumlah seramai 1,130,900 orang diikuti Cina (690,200), India (262,700) dan bumiputera lain (44,400). Walaupun Menteri Besarnya terdiri daripada wakil PAS namun dari segi tersiratnya peranan besar akan dimainkan oleh DAP dalam penentuan dasar-dasar Kerajaan Negeri.

Saya secara peribadi melihat Menteri Besar Perak yang baru, YB Nizar Jamaluddin sebagai individu yang mempunyai latarbelakang pendidikan yang amat baik serta mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran. Namun saya melihat peranan sebagai Menteri Besar merupakan satu gelanggang berbeza. Jawatan politik tertinggi sebuah negeri adalah satu amanah yang berat bagi YB Mohd Nizar. Wujud dibenak fikiran saya, mampukah beliau menghadapi tekanan daripada DAP dalam membuat penentuan dasar Kerajaan Negeri? Pengerusi DAP Perak, Ngeh Kor Ham awal-awal lagi telah menyatakan secara terbuka bahawa Menteri Besar Perak hanya berperanan sebagai Pengerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan tidak mempunyai kuasa dalam membuat penentuan keputusan dan dasar Kerajaan Negeri.

Umum mengetahui bahawa kerjasama yang wujud di antara DAP, PKR dan PAS merupakan satu rantaian kerjasama yang longgar. Rantaian kerjasama ini sebenarnya terhasil apabila PKR memainkan peranan sebagai ’cangkuk penghubung’ antara DAP dan PAS. Dan, hakikat sebenarnya tidak wujud kerjasama nyata antara PAS-DAP yang jelas memperjuangkan ideologi yang bertentangan dengan PAS sibuk untuk menegakkan acuan ’Negara Islam’nya dan DAP dengan konsep ’Malaysian Malaysia’nya yang tak sudah-sudah. Dalam hal ini, PKR dilihat lebih liberal atau ’halal apa sahaja demi menumbangkan sesama melayu-islam’ konsepnya ’Keadilan Untuk Semua’ yang telah dapat diterima oleh dua kutub yang bertentangan iaitu PAS dan DAP. Sebagai bukti, ketika kemelut pelantikan Menteri Besar Perak yang lalu, telah wujud desas desus bahawa terdapat perundingan di antara PAS dan UMNO (BN) untuk bekerjasama mentadbir Perak atas dasar bagi memelihara kepentingan masyarakat Islam dam Melayu di Perak. Saya difahamkan bahawa pucuk pimpinan PAS pusat sendiri telah memberikan ’green light’ dan sedia bekerjasama dengan UMNO untuk membentuk Kerajaan Negeri.

Saya tertanya-tanya mengapa perkara ini tidak menjadi kenyataan? Adakah UMNO terlalu ego untuk bekerjasama dengan PAS? Atau PAS sendiri sanggup tunduk kepada tekanan DAP dan PKR agar tidak bekerjasama dengan UMNO?

ARAH TUJU PAS

Ke mana arah tuju PAS yang sebenarnya diakhir zaman ini yang penuh dengan fitnah ke atas Islam seperti mana yang terkandung dalam aL-Quran dan hadith ? Perjuangan untuk Islam sepenuhnya atau kepentingan politik separuh dan agama separuh?

Dalam Al Quran Allah telah pun mengingatkan kita supaya diakhir zaman akan ada kuasa kuasa besar yang terdiri daripada Yahudi dan Kristian yang akan memecah belahkan Islam dan akan menyerang Islam seperti mana yang telah pun terjadi sekarang contohnya Amerika yang cuba hapuskan kebangkitan negara-negara Islam. Allah telah berfirman Jangan kamu ambil mereka ini sebagai kawan kamu dan penolonng kamu.

Pada hari ini kita melihat saudara Dato Seri Anwar Ibrahim berkawan rapat dengan Pihak Amerika dan yang mengagumkan lagi adalah Pihak Amerika sentiasa berpihak kepada saudara Anwar Ibrahim tanpa berbelah bahagi. Amerika sanggup ikuti setiap perkembangan di Malaysia demi saudara Anwar Ibrahim.

Kalau sampai Amerika sanggup membela, bukankah itu sesuatu yang patut kita ragui? Kenapa kita menutup sebelah mata untuk kepentingan dunia? Kenapa PAS terpedaya dengan permainan Yakjuj dan Makjuj?

Bagaimana keadaan kalau negara kita menjadi seperti Turki satu hari nanti seperti mana yang dilakukan oleh Mustafa Kamal Atartuk yang menjadi punca kejatuhan sistem khalifah Islam akibat berkomplot dengan Barat untuk kepentingan sendiri dan perpura pura menjadi wira bangsanya pada ketika itu? Perlukah kita seorang lagi Mustafa Kamal di negara kita? Kita patut menjaga kepentingan Islam dan eratkan persaudaraan sesama ummah dan bukan sebaliknya.